TANAH MERAH: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 2,780 botol cecair vape dan 809 unit pod vape pelbagai perisa bernilai RM310,360 dalam serbuan di Pengkalan Haram Awang Bunga, Kampung Limau Purut, di sini, semalam.
Serbuan jam 6.50 pagi itu dilakukan
sepasukan anggota cawangan risik PGA9 hasil intipan rondaan dan pemantauan daripada maklumat awam.
Pegawai Pemerintah PGA9, Superitendan Nor Azizan Yusof berkata, hasil pemantauan pihaknya menemui beberapa kotak warna coklat yang berada di tepi sungai
pengkalan haram berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kotak mendapati sebanyak 809 unit pod vape dan 2,780 botol cecair vape pelbagai jenis dan jenama dipercayai akan diseludup ke negara Thailand melalui pengkalan haram itu.



“Kotak berkenaan dirampas dan usaha mengesan pemilik cecair vape dilakukan di kawasan sekitar kampung, namun gagal dikesan. Botol pelbagai jenama berisi cecair vape itu dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk pemeriksaan lanjut.
“Rampasan pod vape akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.
“Manakala botol berisi cecair vape akan diserah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan kes disiasat di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
“Kawalan sempadan akan terus diperketatkan bagi memerangi jenayah rentas sempadan dan meminta kerjasama masyarakat setempat supaya menyalurkan maklumat,” katanya.