KOTA BHARU | Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Madinah Ramadan di di Stadium Sultan Muhammad IV di sini akan menyediakan 100 katil dalam masa terdekat.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, PKRC kelima itu akan dibuka susulan pembatalan program Madinah Ramadan.
Katanya, terdapat empat PKRC di Kelantan termasuk di dewan Jubli Perak di Kota Bharu, Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa, Hospital Kuala Krai lama dan Dewan Sivik Gua Musang.
“Kadar kebolehjangkitan (RT) di Kelantan juga tinggi iaitu 1.15 dan kita bersedia untuk menempatkan pesakit COVID-19 di PKRC ini mengikut keperluan.
“Pendaftaran bagi menerima suntikan vaksin dalam kalangan rakyat di negeri ini masih berada pada tahap rendah.
“Hanya 21 peratus sahaja iaitu 268,000 yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan kita berharap lebih ramai lagi mendaftar untuk mendapatkan vaksin bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, JKNK juga membuka pendaftaran melalui kaedah manual di klinik untuk memudahkan pendaftaran.