PUTRAJAYA | Pangkalan data berpusat perlu diwujudkan bagi menyelaras semakan kelayakan serta rekod penerima bantuan di negara ini.
Cadangan tersebut dilontarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi sempena Majlis Apresiasi Ulang Tahun Ke 75 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Muhyiddin berkata, cadangan tersebut juga merupakan antara Hala Tuju Baharu Bantuan Sosial yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusika beliau pada 22 Februari lepas.
Menurutnya, pangkalan data tersebut perlu diwujudkan memandangkan terdapat 192 jenis bantuan disalurkan kepada rakyat merentasi pelbagai agensi kerajaan.
“Sesiapapun yang memenuhi kriteria kelayakan penerima bantuan perlu dilayan secara adil dan saksama. Ini adalah memenuhi prinsip prihatin yang menjadi teras pendekatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini.
“Pada masa sama berharap semua agensi yang terlibat dalam pemberian bantuan sosial ini akan dapat menyelaraskan mekanisme penyampaian bantuan serta menyampaikan bantuan dengan segera,” katanya ketika berucap yang disiarkan secara langsung malam tadi.
Selain itu, Muhyiddin berkata, kesemua inisiatif yang dirancang kerajaan memerlukan kerjasama daripada semua agendi pelaksanaan termasuklah warga kerja (JKM)
“Pada semua warga kerja JKM sekalian, saudara saudari perlu menjadi agen penyampaian yang proaktif dan juga cekap dalam kemalangan masyarakat.
“Misalnya apabila sesuatu pengumuman dibuat oleh kerajaan terutama hal-hal berkaitan dengan bantuan kebajikan, saudara dan saudari perlu bertindak dengan pantas untuk memastikan usaha menyampaikan mesej dan bantuan kepada masyarakat dalam komuniti masing-masing dibuat dengan betul dan berkesan.
“Ini termasuklah proses permohonan bantuan, mengurangkan kekangan birokrasi dan memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang,” katanya.