KUALA LUMPUR | Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Perkhidmatan Awan dan Keselamatan Siber Telekom Malaysia (TM) untuk kerajaan Malaysia di Pusat Data Teras Lembah Klang (KVDC).
Beliau berkata, ia adalah inisiatif MyDigital untuk menarik pelaburan baharu dalam sektor digital dari dalam dan luar negara.
Katanya, kerajaan mensasarkan sebanyak RM70 bilion pelaburan membabitkan digital sehingga tahun 2030.
“Perkhidmatan Awan ini akan membolehkan rakyat Malaysia mengakses dan menikmati pengalaman sambungan yang lancar dalam menyokong gaya hidup lebih digital, masyarakat digital, perniagaan digital, industri digital dan Kerajaan digital seiring dengan inisiatif MyDigital.
“Saya amat berbangga dengan keupayaan TM untuk menjadi satu-satunya syarikat Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP) tempatan yang telah diberikan kebenaran beroperasi di bawah inisiatif MyDigital bersama tiga (3) lagi CSP lain dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan Facebook rasminya, hari ini.
Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Panel Pengkomputeran Awan Berpusat TM dan Penyedia Perkhidmatan Terurus di antara Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), TM dan Cloud Connect.
Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada pihak TM atas komitmen dan kesediaan dalam memainkan peranan utama dalam memacu tranformasi digital Kerajaan di bawah inisiatif MyDigital.