KUALA LUMPUR | Pusat Darah Negara (PDN) memaklumkan operasinya dilanjutkan pada bulan Ramadan bagi memudahkan penderma darah beragama Islam untuk menderma darah.
PDN menerusi laman Facebook berkata, waktu operasi bermula pada jam 7.30 pagi hingga 9 malam pada Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad serta cuti umum pula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Katanya, PDN Donation Suite, Midvalley Megamall beroperasi setiap hari dari 10 pagi sehingga 9 malam.
“Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10, Putrajaya akan beroperasi dari Sabtu hingga Rabu dari jam 8 pagi sehingga 4 petang, manakala
Khamis hingga Jumaat dari 1 tengah hari hingga 8.30 malam.
“PDN akan menganjurkan program berbuka puasa dan menderma darah pada bulan Ramadan.
“Penderma darah bukan beragama Islam diseru untuk tampil menderma darah sepanjang bulan Ramadan ini bagi memastikan stok darah kekal selamat,” katanya.