Apabila sudah terjerat, pelbagai tuduhan liar dilemparkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semata-mata mahu mengubah topik atau pandangan ahli-ahli parti sendiri.
Itulah yang berlaku apabila rakaman audio perbualan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tular sehingga menjadi buah mulut semua orang.
Isunya sudah jelas bahawa ia adalah antara Zahid dan Anwar, dan tiada kaitan langsung dengan BERSATU. Mengapa BERSATU perlu dikaitkan atau dipersalahkan?
Yang jelas, cubaan menyalahkan BERSATU itu lebih kepada hendak menutup mata ahli-ahli parti sendiri sama ada dari UMNO mahupun PKR atau PH, yang mula tertanya-tanya bagaimana sikap sebenar pemimpin mereka sendiri.
Kenyataan menuduh BERSATU yang menjadi dalang lebih kepada usaha `desperado’ bagi menutup konspirasi antara Zahid dan Anwar.
Ahli-ahli parti sama ada UMNO mahupun PH serta orang awam sudah mengetahui bahawa memang terdapat kerjasama dan perundingan antara Presiden UMNO dan Presiden Pakatan Harapan itu.
Sebelum ini, isu surat memberi sokongan dan kepercayaan daripada Presiden UMNO yang juga ditandatangani oleh Datuk Seri Najib Razak menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri turut didedahkan oleh pemimpin dalam UMNO sendiri.
Sehubungan itu, sudah tiba masanya `lakonan’ yang diada-adakan itu dihentikan segera.
Eloklah sahaja mereka yang terlibat sebagai watak utama sama ada dalam isu rakaman video dan surat sokongan supaya Anwar menjadi Perdana Menteri, supaya berterus terang sahaja.
Janganlah sembunyikan lagi fakta atau kejadian sebenar kerana umum sudah mengetahui perangai orang-orang terlibat.
Tidak perlu lagi `berlakon’ kerana jika diteruskan juga pasti ia akan memberi impat negatif kepada diri sendiri. Percayalah nasihat saya ini.
Rakyat juga tahu bahawa BERSATU tidak terlibat dalam isu rakaman video itu kerana berkali-kali Tan Sri Presiden BERSATU serta barisan kepemimpinan parti termasuk komponen dalam Perikatan Nasional menjelaskan bahawa fokus utama ialah membela serta menyelesaikan isu rakyat.
DATUK ABDUL RASHID ASARI
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Selangor
Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang
Tulisan ini tidak mencerminkan pendapat Journal Malaysia