KOTA BHARU | Kerajaan negeri Kelantan memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta kepada 2,500 peniaga bazaar Ramadan yang sudah berdaftar namun tidak dapat meneruskan perniagaan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, peruntukkan itu adalah saguhati kerajaan kepada peniaga ekoran pembatalan pembukaan bazaar Ramadan tahun ini.
Katanya, pihaknya memahami akibat tindakan drastik kerajaan membatalkan bazaar Ramadan yang merugikan ramai peniaga kecil, namun ia perlu dilakukan untuk mengekang jangkitan Covid-19.
“Bazaar Ramadan adalah satu punca pendapatan kepada peniaga-peniaga kecil dan kerajaan memang menjangkakan kerugian yang dialami peniaga kerana sudah mengeluarkan modal untuk membeli bahan-bahan untuk berniaga.
“Untuk itu, selepas berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad, kita bersetuju memperuntukkan RM1.5 juta,” katanya ketika sidang media di pejabatnya hari ini.
Dr Izani berkata, setiap peniaga akan mendapat balik wang sewaan tapak yang sudah dibayar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini.
“Setiap peniaga akan menerima saguhati ini, jika peniaga hanya keluarkan duit untuk bayar sewa tapak, kita akan bayar balik berserta dengan saguhati kepada mereka.
“Jika ada peniaga keluarkan modal sebelum ini, kita juga akan bayar balik dan malah mereka juga akan mendapat keuntungan atas kerugian yang dialami,” katanya.
Kelmarin, Kerajaan Kelantan membuat keputusan membatalkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di seluruh Kelantan serta merta berikutan perkembangan Covid-19 membimbangkan di Kelantan.