KOTA BHARU | Kerajaan hari ini menggariskan enam pendekatan utama yang akan dilaksanakan melibatkan isu perubahan iklim menerusi Mesyuarat Pertama Majlis Tindakan Perubahan Iklim (MyCAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu diketengahkan sendiri Perdana Menteri dan antaranya ialah pengukuhan tadbir urus perubahan iklim negara melalui penglibatan semua pemegang taruh.
Seterusnya, beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menggariskan mengenai pelaksanaan pelbagai program untuk memacu agenda perubahan iklim dengan memobilisasi sumber tenaga kerja dan peruntukan kewangan.
“Perkara ketiga, ialah pelaksanaan perdagangan karbon secara teliti supaya aktiviti perdagangan karbon tidak menjejaskan komitmen pengurangan pelepasan gas rumah kaca (Greenhouse Gas – GHG) negara.
“Perkara keempat pula ialah, kerjasama semua pemegang taruh kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memenuhi komitmen pelaporan negara di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).
“Pembangunan agenda green recovery plan seperti green new deal agar Malaysia menjadi hab dalam bidang ekonomi, perkhidmatan dan teknologi hijau juga turut ditekankan.
“(Terakhir) ialah pemupukan gaya hidup hijau di semua lapisan masyarakat melalui konsep planetary health ke arah pembangunan mampan yang holistik,” katanya.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, MyCAC telah bersetuju mengadakan mesyuarat dua kali setahun bagi membincangkan isu perubahan iklim dan agenda pembangunan hijau.
“Selain itu, KASA memainkan peranan penting untuk memacu agenda perubahan iklim negara dan teknologi hijau termasuk mengukuhkan kerangka dasar, undang-undang, institusi dan kewangan.
“Melaksanakan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang dijangka mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 165 juta tan CO2, menjimatkan perbelanjaan bahan api sebanyak RM150 billion dalam
tempoh 10 tahun, memacu anjakan ke arah peningkatan penggunaan kenderaan elektrik dan pengangkutan rendah karbon,” katanya.
Tambahnya, Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara sebagai asas panduan dan hala tuju Bandar Rendah Karbon di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan dan Kerajaan Negeri dilaksanakan.
Katanya juga, garis panduan pasaran karbon dan dasar carbon pricingbagi menyokong hasrat mana-mana pihak yang akan terlibat dalam pasaran karbon akan dibangunkan.