KOTA BHARU | Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merogol wanita Orang Kurang Upaya (OKU), pada Oktober 2020.
Tertuduh, Aziz Mamat, 60, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol wanita berusia 40 tahun walaupun tahu kecacatan mental yang dialami mangsa di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kuin Pasir, Jelawat dekat Bachok, lebih kurang jam 7 petang, Oktober 2020.
Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun sehingga 30 tahun dan juga sebatan.
Fakta kes, kejadian itu terbongkar selepas kakak ipar mangsa berusia 47 tahun yang mendapati adik iparnya tidak datang bulan dan hasil ujian kehamilan mendapati wanita itu mengandung.
Mangsa memaklumkan dia dirogol oleh tertuduh yang bekerja di kedai basikal sebelum membuat laporan di Balai Polis Bachok. Tertuduh menyerah diri di pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok Rabu lalu bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan mendapati mangsa dirogol dan mengandung 22 minggu, namun mengalami keguguran Rabu lalu.
Tamat.