KOTA BHARU | Akhirnya… Tujuh daerah di Kelantan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 16 hingga 29 April.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di Negeri Kelantan yang melibatkan tujuh jajahan/ daerah.
“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 30.5% di negeri ini dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 756 kes kepada 1,088 kes dan kesemua tujuh jajahan/daerah ini berada di dalam Zon Merah,” katanya hari ini.
Beliau berkata, selain itu, terdapat juga sembilan kluster baru telah dilaporkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM serta selepas perbincangan dengan kerajaan negeri Kelantan, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di tujuh jajahan/daerah di Kelantan seperti yang dinyatakan bermula 16 April hingga 29 April 2021.
“Pelaksanaan PKP ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan lain,” katanya.