BISMILLAHI ARRAHMAN ARRAHIM
1 Ramadhan 1442 Hijrah
13 April 2021
Marhaban Ya Ramadan ! Marhaban Ya Ramadan! Marhaban Ya Ramadan!
Selamat datang Saiyidus Syuhur (Penghulu sekalian bulan). Bulan yang penuh keistimewaan dan
kelebihan sehinggakan Rasulullah saw bersabda :
“Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadhan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadhan”.
Marilah kita meningkatkan amal ibadah kita dalam bulan ini. Setiap kebaikan tidak kira kecil atau besar perlulah kita lakukan, hatta senyum kepada setiap orang, menyapa dan bertanya khabar.
Apatah lagi membantu mereka yang memerlukan bantuan atau mempermudahkan urusan orang lain. Ianya bukan terhad kepada amalan solat, berpuasa, berzakat, bersedekah, mengerjakan umrah, tetapi tidur juga menjadi ibadah. Begitulah Maha Pengasih dan Penyayang, Tuhan sekalian alam.
Selamat datang Syahrul Syiam (Bulan Puasa). Bulan di mana kita mendisiplinkan diri dengan meninggalkan perbuatan yang tertentu pada waktu siang hari.
Apabila kita berjaya berpuasa dengan sempurnanya, maka jadilah kita orang yang bertakwa. Beruntunglah orang yang bertakwa. Allah swt telah berfirman dalam surah An Nur ayat 52:
“Dan barangsiapa yang mentaaati Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah dan bertakwa, maka itulah orang-orang yang beruntung.”
Sejarah telah membuktikan disiplin diri yang tinggi amat penting dalam mencapai kejayaan. Umat Islam mula diwajibkan berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan pada Tahun Kedua Hijrah dengan turunnya ayat 183-184 Al-Baqarah.
Dan buat julung kali umat Islam berpuasa ketika itu, Allah swt mentakdirkan mereka turun berperang pada 17 Ramadhan.
Dengan ketumbukan askar yang sedikit; 313 infantri dan kavalri (2 kuda dan 70 unta) berjaya mengalahkan pihak lawan yang memiliki 900 infantri dan kavalri (100 kuda dan 170 unta).
Seramai 14 orang Islam terbunuh sementara 70 orang
Quraish terbunuh dan antara 43-70 orang Quraish ditawan.
Kita perlu mengambil iktibar dari peristiwa yang lampau. Bilangan yang sedikit tidak semestinya lemah. Ketumbukan yang baru tidak semestinya dhaif.
Disiplin dan bergerak dengan tersusun serta terancang amat penting. Marilah kita jadikan bulan Ramadhan ini untuk mendisiplinkan diri kita bagi menghadapi cabaran yang mendatang.
Selamat datang Syahrul Quran (Bulan Quran). Inilah bulan di mana Al-Quran diturunkan sebagaimana firman Allah swt dalam Al Baqarah ayat185:
“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dan yang salah.”
Ramai orang-orang bukan Islam mendapat petunjuk dan memeluk Islam (agama fitrah) apabila mereka membaca terjemahan Al-Quran dalam bahasa yang mereka faham.
Tidak kurang juga ilmuwan samada pakar perubatan mahu pun pakar arkeologi kembali ke agama fitrah apabila dapatan daripada kajian yang mereka lakukan telah pun direkodkan dalam ayat-ayat Al-Quran.
Ramai orang Islam yang apabila kebuntuan dalam menghadapi masalah kehidupan, apabila menyelak helaian Al-Quran secara rawak, akan menemui solusi bagi permasalahan mereka. Hati yang gundah gulana menjadi aman. Sesungguhnya Al-Quran itu adalah mukjizat.
Amat rugi sekiranya di bulan yang mulia ini, di mana ganjaran membaca Al-Quran berlipat ganda, tidak kita gunakan sepenuhnya untuk bertadarus, bertadabbur dan bertazakkur Al-Quran.
Selamat datang Syahrul Sabr (Bulan Kesabaran)
Selamat datang Syahrul Rahmah (Bulan Kerahmatan)
Selamat datang Syahrul Maghfirah (Bulan Keampunan)
Selamat datang Syahrul Najah (Bulan Kemenangan)
Dari meja,
Suhailah Ibrahim
Ketua Penerangan Bahagian Kota Bharu
Ketua Penerangan Srikandi Negeri Kelantan.