PUTRAJAYA | Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkesempatan untuk singgah membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya petang tadi.
Menerusi Facebook rasminya, Muhyiddin berkata, beliau sempat singgah untuk membeli sedikit juadah berbuka untuk dibawa pulang sejurus habis waktu bekerja.
Katanya, pelbagai jenis juadah mengikut negeri dijual tahun ini seperti mi rebus Johor, laksa Sarawak, nasi kerabu serta aneka pemanis mulut.
“Selain membeli juadah kegemaran, sempat juga saya berbual dengan para peniaga dan pengunjung selain meninjau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.



“Saya dapati pihak penganjur ada mengambil langkah-langkah perlu, antaranya memisahkan laluan masuk dan keluar pengunjung, jumlah gerai dikurangkan bagi mewujudkan jarak bersesuaian serta menempatkan petugas bagi mengingatkan pengunjung mengenai pematuhan jarak fizikal.
“Saya harap pengunjung dapat mematuhi SOP, bukan hanya di bazar Ramadan di Putrajaya tetapi di bazar-bazar lain di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, keadaan Covid-19 ini belum reda dan orang ramai perlu berhati-hati untuk menjaga keselamatan diri dan juga orang di sekeliling.
Katanya, penjarakan fizikal dan cuci tangan menggunakan sanitizer sebelum dan selepas berada di tempat yang dikunjungi ramai orang juga perlu sentiasa diamalkan.
“Saya doakan rezeki para peniaga dilipat gandakan sepanjang bulan Ramadan dan mereka semua termasuk pengunjung dijauhkan daripada jangkitan COVID-19.
“Selamat berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa,” katanya.