MANILA | Filipina arah nota bantahan diplomatik dikeluarkan kepada China memprotes kehadiran 240 kapalnya di perairan Laut Barat Filipina (WPS), lapor Agensi.
Setiausaha Hal Ehwal Luar, Teodoro Locsin Jr, dalam ciapannya di Twitter, mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) untuk menghantar nota bantahan itu.
Semalam, Jawatankuasa Khas Kebangsaan bagi WPS (NTF-WPS) mengesahkan kira-kira 240 kapal tentera China masih berada dalam perairan negara itu.
Dalam pada itu, DFA sudah memanggil Duta Besar China di Filipina, Huang Xilian, untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kehadiran haram kapal China yang masih berlabuh di kawasan Terumbu Karang Julian Felipe di WPS.Dalam pertemuan itu, Filipina dengan tegas mengulangi permintaannya supaya China memastikan semua kapal miliknya yang masih berada di zon maritim Filipina beredar dengan segera.
Dalam perkembangan lain, sumber melaporkan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) sedang menjalankan latihan berhampiran perairan Taiwan sejak Isnin lalu, membabitkan jumlah terbesar kapal perang yang pernah direkodkan.
Pakar penyelidik berkata ia mungkin latihan persediaan operasi bagi menyatukan Taiwan dengan China secara paksa, sekali gus menghantar amaran jelas kepada Amerika Syarikat (AS) yang menyokong Taiwan.
Tindakan provokatif itu juga dikhuatiri akan meningkatkan ketegangan di rantau terbabit dan dijadikan alasan oleh China untuk bertindak agresif terhadap Taiwan.
Isnin lalu, sebuah kapal pengangkut AS dilihat keluar dari Laut China Selatan melalui perairan di selatan kepulauan Taiwan iaitu wilayah berdekatan dengan latihan pesawat perang PLA.
Penganalisis berkata latihan ketenteraan PLA itu adalah bagi menunjukkan kemampuan untuk mengusir pasukan asing yang mahu campur tangan dalam hal ehwal membabitkan Taiwan.
Isnin lalu, 25 pesawat PLA iaitu dua pesawat perang anti kapal selam Y-8, satu pesawat amaran awal KJ-500, empat jet pejuang J-10, 14 jet pejuang J-16 dan empat pengebom H-6K, memasuki zon pertahanan udara di wilayah barat daya Taiwan.
Bilangan kapal perang PLA terbabit dalam latihan itu memecahkan rekod pernah dicatatkan pada 26 Mac lalu membabitkan 20 kapal perang.
Media tempatan turut melaporkan bahawa bilangan jet pejuang J-16s adalah yang terbesar dalam latihan seumpamanya yang pernah diadakan sebelum ini.
Pakar meminta Taiwan dan AS berhenti melakukan provokasi sekiranya tidak mahu ketegangan di rantau itu terus memuncak kerana PLA dilihat semakin agresif dalam usaha menyatukan Taiwan dengan China.
Tamat