KOTA BHARU | Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini menitahkan membenarkan solat tarawih, qiamullail, Jumaat, fardu dan solat sunat di tujuh daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bagi solat Jumaat, solat fardu, tarawih dan qiamullail di masjid negeri, bandar dan jajahan dibenarkan dengan kehadiran 70 peratus (%)
“Memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, telah mengampuni perkenan kebenaran solat Jumaat, fardu, tarawih dan aktiviti pengimarahan di masjid negeri/bandar/jajahan/mukim bagi Jajahan Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan Tumpat bermula 16 April sehingga tempoh PKP berakhir,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi masjid mukim, surau dan musolla dibenarkan dengan kehadiran lima 50 % mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musolla dengan penjarakan fizikal satu meter.
“Ia boleh dilaksanakan lapan rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek dalam tempoh tidak lebih 45 minit tidak termasuk solat Isyak.
“Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat Terawih manakala tazkirah subuh, asar dan lain-lain adalah dibenarkan dengan kehadiran 70 % bagi masjid negeri, bandar dan jajahan,” katanya.
Mohamad Rizam berkata, kehadiran lima 50 % bagi masjid mukim, surau dan musolla mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musolla dengan penjarakan fizikal satu (meter dalam tempoh tidak lebih 45 minit.
Sementara itu katanya, aktiviti tadarus Al-Quran adalah dibenarkan dengan kehadiran 70 % bagi masjid negeri, bandar dan jajahan manakala 50 % bagi masjid mukim, surau dan musolla mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musolla dengan penjarakan fizikal dan tidak lebih 45 minit.
“Qiamullail adalah dibenarkan sepanjang Ramadan dengan kehadiran 70 % di masjid negeri, bandar dan jajahan manakala 50 % bagi masjid mukim, surau dan musolla mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musolla dengan penjarakan serta tidak lebih 45 minit.
“Jamuan berbuka puasa, bersahur dan moreh tidak dibenarkan, bagaimana pun masjid, surau dan musolla boleh menyediakan menu berbuka, bersahur serta moreh secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.
“Iktikaf di masjid adalah dibenarkan dengan kehadiran 70% bagi masjid negeri, bandar dan jajahan manakala 50% bagi masjid mukim, surau dan musolla mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musolla dengan penjarakan fizikal satu meter,” katanya.
Beliau turut menegaskan, tidak dibenarkan untuk mendapatkan khidmat imam untuk solat tarawih dan penceramah untuk program Ihya Ramadan daripada luar negeri Kelantan.
“Jemaah digalakkan untuk mengambil wuduk di rumah masing-masing. Bagi Jajahan Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli adalah sebagaimana SOP yang telah dikeluarkan sebelum ini.
“MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini,” katanya.
Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP digariskan dan bersama-samalah istiqamah dan yakin bahawa Allah S.W.T pasti membantu serta memperkenankan doa jua harapan semua dalam menangani pandemik Covid-19.