PUTRAJAYA | BERKUATKUASA ESOK, Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 26 April ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan sitausi kes Covid-19 di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.
“Sehingga semalam, KKM telah melakukan 113 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 50 kes positif direkodkan,” katanya hari ini.
Beliau juga berkata, KKM mengesahkan penularan telah berlaku dalam kalangan penghuni sekolah tersebut dan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti itu.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di SMU (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan berkuat kuasa 16 April sehingga 29 April 2021,” katanya.
Katanya juga, pelaksanaan PKPD adalah untuk membolehkan KKM mengawal pergerakan penghuni serta mengelakkan penularan Covid-19 ke komuniti luar sekolah.