KUALA LUMPUR | Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus berusaha mencapai keseimbangan antara melindungi nyawa dan meneruskan kelangsungan hidup dalam situasi pandemik Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga akan melakukan segala upaya untuk memulih dan merancakkan semula ekonomi negara dan rakyat.
“Pagi ini saya telah menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pihak Industri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengadakan sesi dialog bersama kira-kira 48 pemain industri tempatan.
“Dalam ucapan pembukaan, saya telah menzahirkan penghargaan kepada pemain industri dan sektor swasta yang memainkan peranan penting menyokong usaha Kerajaan mengawal dan mengurus pandemik Covid-19 ini, terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0.
“Insya-Allah Kerajaan Perikatan Nasional akan terus berusaha mencapai keseimbangan antara melindungi nyawa dan meneruskan kelangsungan hidup dalam situasi pandemik Covid-19 serta melakukan segala upaya untuk memulih dan merancakkan semula ekonomi negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut dihadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Senator Datuk Lim Ban Hong serta pegawai-pegawai kanan MITI.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, pihak industri juga harus memainkan peranan yang proaktif dalam membendung penularan wabak Covid-19.
“Oleh yang demikian, saya menggesa semua pemain industri untuk memastikan pematuhan ketat terhadap SOP di tempat kerja dan bekerjasama dengan Kerajaan dalam mematuhi Akta 446.
“Sediakan kemudahan yang selamat dan kondusif untuk memastikan tidak ada kesesakan dan menjaga kebersihan di tempat tinggal pekerja, sekali gus membantu mengurangkan risiko pandemik itu,” katanya.
Pada sesi dialog tersebut, beliau juga berkesempatan untuk mendengar pelbagai input dan cadangan yang dikemukakan oleh pihak industri.
“Insya-Allah kerajaan akan meneliti setiap input tersebut,” katanya.