Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mencadangkan supaya kegiatan rentas negeri untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempenan sambutan Aidilfitri pada bulan depan ditangguhkan.
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba memaklumkan bahawa ini berikutan rungutan serta rayuan pelbagai pihak agar kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan berkenaan.
“Sepertimana kita sedia maklum, kebanyakan negeri ketika ini masih di bawah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) sehingga 28 April ini.
“Memandangkan kes harian masih meningkat dan belum stabil, maka pergerakan ini perlu ditangguhkan. Program vaksinasi (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) pun masih dijalankan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku ‘Malaysia Health Sector Response to Covid-19: Perspectives From The Field’, di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM perlu membuat pengumuman lebih awal berhubung rentas negeri sempena perayaan Aidilfitri ini.
Menurutnya, keputusan sama ada membenarkan atau tidak orang ramai melakukan rentas negeri ketika perayaan itu adalah atas nasihat kementerian berkenaan.
Hari Raya Aidil Fitri tahun ini dijangka jatuh pada 13 Mei.
Malaysia mencatatkan 1,889 kes Covid-19 semalam (14 April) berbanding 1,767 kes pada Selasa.
Sementara itu, Bernama melaporkan ketika ditanya mengenai kemungkinan mereka yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan untuk rentas negeri, Dr Adham berkata pihaknya masih menunggu dapatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit yang berpengkalan di Amerika Syarikat.
“Kita masih menunggu dapatan ini untuk mendapatkan keputusan sama ada perkara ini boleh dibenarkan,” -MALAYSIAKINI