Huraian ayat pada penghayatan Juz 2 hari ini meneliti tentang hak serta tanggungjawab nafkah yang sepatutnya diberikan secara adil dan saksama. Penumpuan khas diberikan dalam pengurusan perbelanjaan serta hak penjagaan terhadap ibu bapa termasuklah mereka yang susah dalam kalangan kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan juga orang yang dilanda kesusahan ketika permusafiran. Allah SWT berfirman:
یَسۡـَٔلُونَكَ مَاذَا یُنفِقُونَۖ قُلۡ مَاۤ أَنفَقۡتُم مِّنۡ خَیۡرࣲ فَلِلۡوَلِدَیۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِینَ وَٱلۡیَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِۗ وَمَا تَفۡعَلُوا۟ مِنۡ خَیۡرࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِیمࣱ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)”. (Al-Baqarah: 215)
Nilai kebertanggungjawaban dalam menguruskan nafkah khasnya kepada ibu bapa masih terlalu dhaif dalam sesetengah masyarakat kita. Jika ditinjau dari sudut pengabaian tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa ianya masih berleluasa sehinggakan terdapat anak-anak yang membiarkan ibu bapa tanpa penjagaan dan menjadi gelandangan. Ada kalangan mereka yang tinggal bersendirian dalam kedhaifan, terlantar di hospital tanpa waris yang datang melawat tambahan pula mengidap penyakit kronik tanpa rawatan dan penjagaan yang sempurna.
Terdapat juga dalam kalangan segelintir waris atau keluarga warga emas yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada Pusat Jagaan Orang Tua juga Rumah Kenangan untuk menjaga mereka dan tidak lagi menjengok atau bertanya khabar berita atas pelbagai alasan sehingga meninggal dunia. Pengabaian sebegini tidak seharusnya berlaku dan mesti dibendung. Islam melarang keras pengabaian terhadap ibu bapa dan ia termasuk dalam hukum perderhakaan yang dijanjikan dengan balasan yang di dunia lagi sebelum akhirat. Sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ
Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” (Riwayat al-Hakim)
Seseorang yang bergelar anak harus memberi keutamaan kepada kedua ibu bapanya. Walaupun sibuk dengan pelbagai kerjaya atau tidak mempunyai kewangan untuk menyara mereka, ri’ayah atau penjagaan dan pemberian hak terhadap ibu bapa wajib disempurnakan. Pusat jagaan orang tua sepatutnya hanya menjadi tempat bagi warga emas yang tidak mempunyai sesiapa lagi dalam hidupnya atau boleh jadi anak yang ada terlantar sakit dalam tempoh lama. Utamakanlah kedua ibu bapa dengan memberi hak yang sewajibnya.
Segala rezeki dan nikmat yang diperolehi hendaklah dikongsi bersama dengan golongan susah lebih-lebih lagi kaum keluarga terdekat. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَعْطَى اللهُ أَحَدَكُمْ خَيْرًا فَلْيَبْدَأْ بِنَفْسِهِ وَأَهْلِ بَيْتِهِ
Maksudnya: “Apabila Allah SWT memberikan seseorang itu kebaikan (kelebihan dari sudut harta) maka mulakanlah dengan dirinya dan juga ahli keluarganya.” (Riwayat Muslim)
Sekiranya semua pihak mengambil peranan dengan memastikan keluarga serta kaum kerabat terdekatnya tidak terabai, isu-isu gelandangan dan warga emas terbiar dapat diatasi dalam negeri dan negara kita. Mudah-mudahan Ramadhan yang tiba ini menjadi penawar kepada seluruh umat khasnya para anak-anak yang masih mempunyai kedua ibu bapa untuk menyayangi kedua mereka dan membantu golongan yang susah.
USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
02 Ramadhan 1442/14 April 2021