KUALA LUMPUR | Kejadian dua pengawal keselamatan didakwa dipukul kerana berpuasa mendapat pelbagai reaksi dan kritikan banyak pihak.
Selain netizen yang lebat memberikan hujah dan melepaskan geram di laman sosial, isu itu turut menarik perhatian dan menyebabkan beberapa insan popular membuka mulut.
Bagi, Mufti Negeri Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, umat Islam hendaklah memandang serius kebiadaban yang dilakukan itu.
“Saya bersetuju ia bukan isu perkauman tapi -jika benar seperti yang didakwa- ia lebih besar dari isu perkauman, ia isu mencabar agama Islam!! Umat Islam hendaklah memandang serius kebiadaban yang seperti ini.
“Jika mereka terlepas, ertinya maruah agama dan Umat Islam di negara ini telah dipijak!!,” tegasnya menerusi facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM) atau Mualaf Berbilang Bangsa Firdaus Wong Wai Hung pula memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia menahan empat individu yang bukan sahaja membelasah pekerja tetapi pada masa yang sama menghina agama Islam wajar dipuji.

“Apabila saya mendapat berita ini, saya juga merasa geram dan marah akan kata-kata yang diungkapkan majikan andai apa yang ditulis di dalam laporan polis itu adalah benar. Secara peribadi, saya ada beberapa komen tentang perkara seperti ini.
“Saya setuju dengan kenyataan PDRM bahawa ini bukan isu perkauman walaupun majikan mereka adalah berbangsa Cina dan pekerja berbangsa Melayu kerana terdapat juga Cina beragama Islam dan Melayu murtad dan Melayu munafik di sisi kita. Ianya adalah sikap individu yang Islamophobic,” katanya.
Dalam masa sama beliau juga turut menawarkan khidmat bantuan guaman secara percuma kepada kedua-dua mangsa dan memberikan peluang kerja sebagai pengawal peribadi di MRM.
“Saya sering menyeru agar masyarakat tidak mengambil tindakan sendiri dengan membelakangkan undang-undang negara walaupun kita marah dan geram,” katanya.

Selain itu, isu sama turut disentuh oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mana mahukan kes itu diadili sebaiknya.
“Terima kasih pihak polis kerana bertindak pantas menahan individu disyaki terlibat dalam kejadian memukul dan mengacu pistol kepada ‘bodyguard’ yang dikatakan berpuasa. Diharap kes ini dapat diadili menurut lunas perundangan,” katanya.