KOTA BHARU | Kerajaan tidak akan teragak-agak akan menutup operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di Wilayah Persekutuan sekiranya terdapat jangkitan kes Covid-19.
Peringatan tegas tersebut disuarakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa setelah mendapati pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) kurang memuaskan di lokasi terbabit.
“Saya mendapati pematuhan kepada SOP tidak memuaskan, sekiranya pematuhan berterusan rendah dan kalau didapati berlaku jangkitan di mana-mana bazar Ramadan, tempat itu akan ditutup.
“Jadi untuk mengelakkan kejadian begitu. Saya menyeru dan merayu kepada penganjur-penganjur yang telah diluluskan untuk mempastikan pematuhan SOP diperbaiki,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau juga Ahli Parlimen Ketereh menyempurnakan Majlis Penyampaian Bakul Makanan Sempena Ramadan di Padang Halban.
Annuar juga mengingatkan semua penganjur supaya bertanggungjawab memastikan pematuhan secara totol di 66 lokasi jualan terutamanya membabitkan pengasingan pintu masuk dan keluar pengunjung termasuklah jumlah kunjungan.
Katanya, selain menyediakan cecair pembasmi kuman, peniaga juga perlu membungkus makanan untuk mengurangkan sentuhan.
“Itu antara SOP yang telah kita tetapkan dah sudah diterangkan, ini baru hari ketiga (Ramadan), saya minta pematuhan diperbaikilah sebab kita nak benarkan bazar ini berterusan sehingga akhir Ramadan,” katanya.