KOTA BHARU | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Bharu terus menyantuni masyarakat pelbagai peringkat dengan mengagihkan lauk berbuka puasa.
Timbalan Ketua Bahagian Kota Bharu, Anuar Rajib berkata, setiap hari sebanyak 600 pek lauk diberikan kepada penduduk di Parlimen Kota Bharu melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong, Tanjong Mas dan Kota Lama.
Menurutnya, sebanyak 200 bungkusan akan diedarkan di setiap DUN dan diuruskan oleh 33 Pusat Daerah Mengundi yang mana penerimanya adalah orang yang berbeza setiap hari.
“Program Bingkisan Iftar Dan Sambutan Ramadan ini adalah cetusan idea daripada Ketua BERSATU Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Zawawi dan dimulakan sejak hari pertama puasa lagi sehingga 25 April.
“Ia dilaksanakan bagi menyantuni masyarakat di ketiga-tiga DUN pada bulan Ramadan bagi bersama-sama meringankan beban terutamanya keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya kepada Journal Malaysia hari ini.



Anuar berkata, penyediaan makanan terbabit dilakukan secara bergotong-royong melibatkan 30 ahli BERSATU Kota Bharu yang bermula seawal jam 8 pagi lagi dan diagihkan pada 2.30 petang.
“Saya melihat program ini sangat bermakna buat penduduk terutamanya keluarga kurang bernasib baik yang mempunyai anak yang ramai.
“Pernah juga apabila kami menghantar walaupun sebungkus lauk, mereka sangat berterima kasih kerana ketika itu masih terfikir-fikir bagaimana untuk membeli lauk untuk berbuka,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima Rosliza Salleh, 37, berterima kasih kepada Ketua Bahagian Kota Bharu yang menganjurkan program sebegini dan pastinya sangat dihargai rakyat.
“Kami mengharapkan ia dapat diteruskan sehingga berakhirnya Ramadan,” katanya.