PENDANG | Umat Islam dibenarkan untuk berbuka puasa sekiranya terancam sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, berkata bagaimanapun jika masih mampu menghalang dan mengelak diri daripada diancam dibunuh, maka ibadat puasa perlu diteruskan.
“Jika kita diugut orang bukan Islam supaya jangan berpuasa, yang pertama apa hak mereka untuk menghalang kita melaksanakan kewajipan agama, apatah lagi puasa itu adalah rukun Islam.
“Keduanya, dari segi ugutan atau dalam fekah disebut ikrah (paksaan) seperti kita dipaksa jangan berpuasa, jika kita dipaksa sehingga akan menyebabkan kehilangan nyawa, maka dibolehkan berbuka puasa, namun jika masih mampu melawan dan boleh melarikan diri, maka kita tidak boleh meninggalkan ibadah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian dua pengawal keselamatan mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka hanya kerana berpuasa.
Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin itu, kedua-dua mangsa mendakwa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, Petaling Jaya.
Kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, Selangor, sebelum dipukul dengan rotan dan diacukan pistol.
Fadzil berkata, sebagai orang Islam kejadian itu harus dijadikan iktibar dan pedoman bersama selain melihat rahmat di sebalik kejadian berkenaan.
Terdahulu, Fadzil mengiringi Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang berangkat menunaikan solat Jumaat dan menunaikan zakat fitrah kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Masjid An Nur, Tanjung Setol, hari ini.
Baginda menyerahkan zakat fitrah kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman di masjid itu.
Sementara itu, Zakaria berkata sehingga hari ini jumlah zakat fitrah yang diterima adalah sebanyak RM29,000 di seluruh negeri Kedah.-BERITA HARIAN