KOTA BHARU | BERMULA ESOK Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu,
Kelantan akan dikuatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKP).
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini.
Perintah PKPD selama 14 hari berkenaan yang berkuatkuasa esok akan tamat pada 30 April nanti.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini juga melaporkan situasi kes Covid-19 di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan.
“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 31 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini daripada 56 ujian saringan yang telah dilaksanakan.
“KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan Covid-19 di lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya hari ini.
Beliau berkata, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kolej tahfiz itu bermula dari 17 April sehingga 30 April 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar ke atas semua penghuni yang terlibat dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti,” katanya.