KUALA LUMPUR | Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menentang keras video tular yang dipercayai mengandungi iklan judi sempena Hari Raya Aidil Fitri.
Ketua Unit Komunikasi Korporat, Zakaria Othman berkata, video tersebut telah menimbulkan kegusaran dan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.
Katanya, sekira ia benar berlaku, lebih-lebih lagi ketika umat Islam menjalani ibadah puasa, tindakan undang-undang perlu diambil.
“JAKIM menyokong usaha pihak berwajib dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Tindakan haruslah diambil mengikut lunas undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
Beliau berkata, orang ramai khususnya umat Islam tidak menularkan video tersebut.
“JAKIM menyeru, agar umat Islam tidak menularkan video tersebut kerana ia boleh memberikan kesan yang tidak baik.
“Umat Islam juga dinasihatkan agar tidak terlibat dalam apa jua aktiviti perjudian termasuklah membantu dalam mempromosikan perjudian yang jelas bertentangan dengan Hukum Syarak,” katanya.
Terdahulu tular satu video iklan berdurasi dua minit satu saat oleh sebuah syarikat perjudian didakwa mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda tular di media sosial.
Iklan tersebut turut didakwa menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu.
Video tersebut didakwa secara jelas mengajak umat Islam untuk terlibat dengan perjudian dan mempergunakan orang Melayu untuk keuntungan perniagaan mereka.