KUALA KRAI | Tiada siapa menduga, kehidupan seorang ibu tunggal kepada tiga anak berubah sekelip mata, kini terlantar dan diuruskan seperti seorang bayi, selepas terlibat dalam kejadian langgar lari di Kuala Krai, 23 Disember tahun lalu.
Ditakdirkan ALLAH SWT, Che Rosniza Che Lah berusia 47 tahun, bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai dilanggar lari ketika pulang ke rumahnya di Mengkebang yang akhirnya mengubah perjalanan hidupnya.
Mengimbau tragedi hitam itu, Che Rosniza ketika ditemui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di rumah ibu bapanya di RPT Batu Mengkebang di Kuala Krai memberitahu kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku dengan sekelip mata.
“Kak Long dok supo dulu dah (tidak seperti dahulu lagi). Kak Long tok tahu sapo tepuh (tidak tahu siapa langgar) Kak Long. Kak Long sedar-sedar Kak Long cacat, Kak Long tok leh jalan doh (tak boleh berjalan dah),” luahnya sambil menyapu air mata.
Ibu mana yang tidak sebak tatkala mendengarkan luahan anaknya sedang terbaring sebegitu rupa, kepiluan hati Sa’diah bertambah apabila keluhan itu diselangi dengan rintihan kesakitan daripada Che Rosniza minta diurut.



Walaupun air mata ibunya, Sa’diah Mohd Daud,64, tidak menitis, kesedihannya tidak dapat disembunyikan apabila turut bicaranya yang sebak itu jelas kedengaran ketika mana Che Rosniza merintih kesakitan ketika tangan si ibu sedang menggosok tubuhnya yang semakin kurus terlantar di atas katil itu.
Sa’diah juga memberitahu, dia memerlukan sekurang-kuranya RM1,300 untuk perbelanjaan lamping pakai buang dan susu khas buat Che Rosniza dan jumlah tersebut amat tinggi buatnya memandangkan dia dan suami tidak bekerja.
Luahnya juga, suaminya, Mohd Irwan Soo Abdullah, 62, tidak boleh melakukan kerja-kerja berat selepas kemalangan lima tahun lalu dan anak bongsu yang tinggal bersamanya, Muhammad Rusdi Che Lah, 26, juga sama kerana menghidap sakit jantung.
Penderitaan Che Rosniza mendapat perhatian MAIK yang diwakili Imam Tua Masjid Bandar Kuala Krai, Armin Azahari Mamat, telah menyampaikan sumbangan susu dan lamping pakai buang bernilai lebih RM 3,000.
“Terima kasih kepada MAIK yang menyampaikan sumbangan segera dan terima kasih juga kesemua pembayar zakat kerana menerusi wang zakat itulah dapat membantu keluarga saya,” katanya.