KUALA LUMPUR | Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menggesa pihak berkuasa untuk segera menyiasat iklan Hari Raya yang mempromosikan sebuah skim judi kasino atas talian bergelar GDBet333 yang ditular dalam media sosial.
Presidennya, Mohd Azmi Abd Hamid berkata, berdasarkan iklan tersebut apa yang ditonjolkan adalah judi kasino dan ia sama sekali tidak boleh diterima.
“Kami mendesak iklan itu diharamkan dan pihak berkuasa bertindak ke atas pihak berkenaan berlandaskan undang-undang yang ada.
“Kami membantah keras pihak yang mengeksploitasi perayaan agama terutama agama Islam untuk memancing orang ramai berjudi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, dalam semakan di internet GDBet333 dipaparkan beroperasi di Malaysia dan Singapura sebagai permainan kasino atas talian.
“Mempromosi judi untuk mencuba nasib untuk sambutan Hari Raya Puasa seperti yang diiklankan bukan sahaja mengeskploitasi orang ramai malah menghina agama Islam.
“Kami mendapati GDBet333 menyediakan perkhidmatan perjudian dalam talian yang boleh diakses melalui telefon pintar dalam bentuk ios ataupun android.
“Dari maklumat yang dibekalkan, pengguna telefon pintar sistem android tidak perlu risau kerana mereka boleh berjudi dan meletakkan taruhan dengan melayari laman sesawang mereka,” katanya.
Sangat dikesali beliau ialah GDBet333 menggunakan iklan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan iklan itu menarik orang ramai dalam kalangan masyarakat Islam berjudi untuk bergembira kerana boleh bertaruh nasib memenangani tawaran wang dari permainan kasino atas talian tersebut.
“Kerajaan tidak boleh berkompromi dalam hal ini walaupun ia mungkin diberi lesen. Judi di negara ini sepatutnya dibentaras sepenuhnya,” katanya.