KOTA BHARU | Setelah hampir tujuh tahun menjaga seorang anak angkat yang dijaga dengan penuh kasih sayang, kini seorang suri rumah berikhtiar mencari ibu bapa kandung demi masa depan anak jagaannya.
Raja Azlina Raja Md Noor, 39, berkata, anak tersebut itu diberikan nama sebagai Anita dijaganya sejak berusia lima bulan lagi dan kini sudah berumur tujuh tahun.
“Tujuh tahun lalu sepasang suami isteri berusia lingkungan 30-an datang ke rumah dan meminta tolong supaya saya menjaga anaknya buat sementara waktu.
“Mereka bagi tahu mahu pulang sekejap sahaja. Saya kasihankan mereka sebab itu kami sedia membantu,” katanya hari ini.
Raja Azlina berkata, dia telah berusaha mencari pasangan suami isteri tersebut yang berusia lingkungan 30-an ketika menyerahkan Anita namun masih gagal menemuinya.
“Kami dah buntu mencari keluarga kandung Anita. Setiap ceruk kampung kami pergi tapi tak jumpa. Kami perlu dapatkan mereka untuk proses membuat sijil kelahiran Anita,” katanya.
Raja Azlina berkata, dia berharap sesiapa yang mengenali keluarga berkenaan boleh menghubunginya di talian 018-9035844 atau menemuinya di Kampung Tok Jawa, Bachok.