Hari ini hari kelima umat Islam di Malaysia menunaikan ibadat berpuasa di bulan Ramadhan ini.
Saya melihat ada rakyat di kawasan Marang yang berdepan dengan masalah kekurangan barang-barang keperluan harian.
Bulan Ramadhan sudah semestinya ahli keluarga akan berkumpul untuk makan bersahur dan berbuka puasa bersama beramai-ramai.
Tetapi, semua itu tidak menjadi suatu perkara yang dinanti-nantikan sekiranya tidak cukup makanan di meja untuk anak-anak dan ibu bapa.
Anak-anak menangis akibat kelaparan dan tidak cukup keperluan.
Ibu bapa dan warga emas pula kurang kemampuan.
Kita tidak mahu golongan seperti ini dibiarkan begitu sahaja di kala kita mampu untuk membawa sedikit sinar harapan buat mereka.
Apatah lagi kita berada di waktu yang mana kita masih bertarung dengan wabak COVID-19 yang nampaknya semakin kembali meningkat kadar kebolehjangkitan wabak ini.
Berdasarkan pengiraan yang kita buatkan di empat dun di Parlimen Marang, kita dapati lebih 300 keluarga yang terkesan dengan masalah kewangan dan kekurangan bekalan harian.
Kita buatkan program hari ini untuk memberi sedikit harapan kepada rakyat di Parlimen Marang supaya cukup makan minum seharian sepanjang bulan Ramadhan ini.
Sedikit sumbangan yang mampu saya dapatkan sebagai seorang ahli Parlimen, saya berikan kepada rakyat yang memerlukan.
Saya bukanlah berasal daripada keluarga yang kaya, saya memahami kesusahan hidup rakyat. Oleh itu kebajikan penduduk Marang akan sentiasa menjadi keutamaan buat saya.
Inilah sedikit bantuan yang mampu kita sampaikan kepada penduduk Marang.
Kepada mana-mana warga Marang yang memiliki info berkaitan rakyat yang memerlukan bantuan, sila berhubung dengan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang. Dengan izin Allah, kita akan cuba bantu sehabis mungkin.
Insya-Allah kita akan teruskan sumbangan kepada rakyat yang menetap di Marang ini.
Presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang