KUALA LUMPUR | Polis Dang Wangi hari ini meminta seorang lelaki yang dikenali sebagai Loh Kee Hoo tampil bagi membantu siasatan untuk mengesan dalang pembikinan kedua-dua video judi raya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki yang berusia 35 tahun dan beralamat di Kuala Lumpur diminta hadir ke IPD Dang Wangi untuk membantu siasatan.
“Mengikut maklumat tangkapan kita dialah yang mengarahkan untuk membuat video, mencari ejen dan mendapatkan syarikat produksi.
“Kita percaya lelaki tersebut yang masih bebas itu boleh membantu sisatan dan kita percaya mungkin ini penganjur yang boleh membantu siasatan kes ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Dang Wangi hari ini.
Dalam masa sama, Mohamad Zainal mengesahkan setakat ini hanya terdapat dua video yang telah viral dan pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya terdapat video lain lagi berkait isu sama.
“Kita percaya dengan kerjasama lelaki (35 tahun) yang masih bebas ini boleh membantu banyak lagi untuk mencari siapa sebenarnya dalang di sebalik pembikinan video-video ini.
“Polis juga percaya mereka ini ialah penganjur judi online di negara kita dan PDRM juga akan bekerjasama dengan SKMM bagi memudahkan siasatan kita,” katanya.
Tegasnya, PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur termasuk mengenakan tindakan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) sekiranya dibuktikan kegiatan haram mereka.