KUALA LUMPUR | Polis menahan lapan individu termasuk lima lelaki dan tiga wanita yang disyaki terlibat dalam penghasilan iklan hari raya bertemakan judi.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acr Sani Abdullah Sani berkata, kesemua ditahan itu disyaki terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juru video atau kamera serta pengarah video terbabit.
“Kesemua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan penggambaran video terbabit yang diadakan di dua lokasi (Ampang dan Hulu Langat, Selangor) pada 13 Mac,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Kesemua yang ditahan berusia 24 hingga 47 tahun itu akan direman bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Beliau juga memberitahu, sebanyak 38 laporan polis berkaitan dengan video berkenaan diterima.