PASIR MAS | Populasi ternakan arnab di Malaysia pada tahun ini dianggarkan sebanyak 44,967 ekor yang mana ia meliputi arnab pedaging dan haiwan kesayangan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penternakan arnab semakin menarik perhatian kerana tempoh pusingan ternakan yang singkat selain memberikan pulangan cepat dan lumayan.
Menurutnya, selain itu penternakan arnab merupakan menjadi industri baharu di negara ini dan semakin mendapat tempat disebabkan kos operasinya yang lebih rendah.
“Populasi arnab di negeri Kelantan menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan sejak lima tahun kebelakangan ini iaitu pertumbuhan sehingga 10,506 ekor pada 2020 berbanding 1,309 ekor pada t 2015 dengan 301 penternak,” katanya.
Hari ini Che Abdullah mengadakan lawatan ke perusahaan Arnab Golden Rabbitry Farm di Pasir Mas yang diusahakan Masrina Kadsi.
Che Abdullah berkata, penternak merupakan pengusaha bimbingan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan yang menerima Geran Agropreneur Muda sebanyak RM20,000 pada 2019 bagi pembiayaan BRC, peralatan penternakan arnab serta bangsal.
Katanya, Masrina dan dan suami juga bergiat secara aktif melalui Persatuan Penternak Arnab Pedaging Kelantan (APEK).
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan melalui Skim Agropreneur Muda telah membantu 13 penternak arnab berpotensi dengan menyediakan bantuan sokongan berbentuk kelengkapan penternakan, infrastruktur, bekalan ternakan dan makanan ternakan dengan jumlah RM260,000.00.