KUALA LUMPUR | Kenaikan harga beberapa jenis sayur-sayuran termasuk sawi, salad dan tomato, dijangka berlarutan sehingga penghujung April ini berikutan hujan lebat berterusan yang melanda seluruh negara.
Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong, berkata hujan lebat ini bukan sahaja memberi kesan kepada pengeluaran sayuran di Cameron Highlands, malah sayuran ditanam di tanah rendah.
Pada Mac lalu, katanya, kebanyakan harga sayur-sayuran mengalami penurunan tetapi sejak hujan lebat berterusan di seluruh negara awal April ini, pengeluaran sayuran semakin menurun dan pekebun sukar memenuhi permintaan pengguna.
Katanya, tomato sebelum ini dijual kepada pemborong tidak sampai RM1 sekilogram, tetapi kini bertambah lebih RM1 dan selepas mengambil kira kos pengangkutan dan kos peruncit, ia biasanya dijual kepada pengguna pada harga RM5 sekilogram.
“Sawi yang ditanam di tanah rendah termasuk di Johor dan Perak juga menerima kesan susulan hujan lebat menyebabkan pengeluarannya berkurangan dan kini dijual kepada pemborong pada harga sekitar RM6 sekilogram berbanding hanya RM5 sebelum ini.
“Selepas mengambil kira kos peniaga dan sebagainya, harga jualan kepada pengguna kini mencecah RM8 hingga RM9 sekilogram.
“Tetapi selepas tiada lagi hujan lebat yang dijangka berakhir April ini, saya jangka hanya sayur-sayuran yang meningkat kini, akan kembali seperti biasa,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.
Ee Mong berkata, terdapat beberapa sayur-sayuran yang mengalami penurunan harga termasuk cili merah yang sebelum ini berdepan kenaikan mendadak pada Tahun Baharu Cina tetapi kini dijual kepada pemborong pada harga serendah RM8 sekilogram.
Tinjauan BH di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu, mendapati harga sayur-sayuran naik mendadak dengan sawi dijual pada harga RM7 sekilogram berbanding RM4 sebelum ini.
Turut mengalami kenaikan harga ialah salad kerinting daripada RM4 sekilogram kepada RM15 sekilogram dan tomato (daripada RM4 kepada RM5 sekilogram).
Kenaikan harga sayur-sayuran itu menyebabkan peniaga di pasar berkenaan berdepan kemerosotan jualan pada Ramadan ini yang disifatkan sebagai paling teruk selepas 20 tahun berniaga.
Ee Mong berkata, kenaikan harga sayur-sayuran itu yang berpunca daripada faktor cuaca, tidak dapat dielakkan peniaga dan berharap situasi ini dapat difahami pengguna.
“Buat sementara waktu, saya cadangkan pengguna menggantikan sayur-sayuran mereka kepada sayur lain.
“Disebabkan harga sawi meningkat, saya cadangkan ia digantikan dengan kangkung yang kini hanya berharga RM3 sekilogram.
“Kenaikan harga sayur-sayuran berbeza dengan kenaikan barangan basah lain seperti ayam yang biasanya tetap dibeli kerana tiada pengganti, meskipun harganya meningkat di pasaran,” katanya.-BERITA HARIAN