KOTA BHARU | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan segera dan sewajarnya berhubung sebuah sekolah yang mengeluarkan panduan pemilihan aktiviti sukan murid mengikut kaum.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi laman Facebook memaklumkan beliau terkejut dan dukacita dengan perkara itu.
Katanya, berbalik kepada panduan yang dikeluarkan oleh sekolah berkenaan, tindakan ini adalah bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di sekolah.
“Tindakan segera dan sewajarnya diambil oleh KPM. KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik.
“Apabila melihat panduan itu, terlintas dalam fikiran, “Aduh, kenapa perlu sedemikian? Biarlah anak-anak main bersama tanpa mengira siapa mereka,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, sukan adalah satu medium pengukuhan perpaduan yang amat berkesan.
Katanya, dalam bersukan, semua ahli pasukan akan berikhtiar sehabis baik untuk memperoleh kemenangan.
“Tidak pernah terlintas di benak fikiran mereka “Aku kaum lain, maka….”. Tidak sama sekali. Sebab itulah sukan merupakan wadah yang dapat mewujudkan satu semangat kebersamaan yang jitu.
“Penyokong juga begitu. Bila pasukan atau atlet Malaysia bertanding, tanpa mengira siapa mereka, seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum dengan penuh semangat patriotik bangkit menyokong sepenuh jiwa.
“Lupakah kita kehebatan pasukan bola sepak negara yang layak ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980? Masih ingatkah kita kecemerlangan pasukan hoki kebangsaan yang menduduki tempat keempat Piala Dunia 1975? Bukankah kita bangun bersorak apabila pasukan badminton negara yang menjuarai Piala Thomas 1992? Kejayaan besar negara di peringkat antarabangsa ini dibentuk atas semangat perpaduan utuh satu pasukan. Kegembiraan disambut seluruh rakyat dengan linangan air mata tanpa mengira siapakah ahli pasukan negara,” katanya.
Tamat.