KOTA BHARU | Sebanyak 1.2 juta atau 60.9 peratus daripada anggaran 1.9 juta penduduk Kelantan sudah dibanci.
Dari segi jumlah kediaman, sebanyak 352,000 (85 peratus) sudah dibanci daripada keseluruhan 412,000 buah rumah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata, daerah Jeli dan Lojing adalah dua jajahan terawal yang selesai operasi bancian.
Katanya, kerja pembancian di Tanah Merah mencapai tahap 97 peratus dan dijangka selesai dalam masa terdekat. Bagi jajahan lain ia sedang rancak dijalankan dengan status selesai antara 48 peratus sehingga 80 peratus.
“Secara keseluruhan, semua jajahan di negeri ini disasarkan akan selesai sepenuhnya pembacian di lapangan pada penghujung Mei ini. Ini menjadikan Kelantan antara negeri terawal yang akan selesai operasi Banci Malaysia 2020.
“Kesedaran tinggi penduduk Kelantan terhadap kepentingan data banci menjadi penyumbang utama kepada kejayaan banci.
“Di peringkat Malaysia, jumlah penduduk yang dibanci sehingga 15 April ini adalah seramai 15 juta orang atau 46 peratus berbanding 32.7 juta anggaran penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir Lawatan Kerja Rasmi Ke Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Wisma Persekutuan di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah DOSM, Zuraidy Zainal Abidin.
Mengulas lanjut beliau berkata, empat negeri yang mencatatkan kadar melebihi 60 peratus iaitu Putrajaya (100 peratus); Johor (65.4 peratus); Kelantan (60.9 peratus) dan Perak (60.8 peratus).
Katanya, banci Malaysia 2020 amat penting bagi kerajaan mendapatkan data untuk merancang pembangunan daripada segi kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, capaian internet serta kemudahan awam seperti jalan raya, rekreasi, bekalan air dan elektrik.- Journal Malaysia