PUTRAJAYA | Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan siasatan menyeluruh dan terperinci dilakukan melibatkan kes kematian Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan.
Penegasan tersebut disuarakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini menerusi facebooknya.
“KDN akan memastikan siasatan menyeluruh serta terperinci akan diambil bagi memastikan keadilan terhadap keluarga Allahyarham dapat ditegakkan.
“Takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Iqbal yang terlibat dengan kemalangan maut di Jalan Utama Pulau Pinang semasa dalam penugasan pada awal pagi semalam.
“Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita berdoa semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh golongan yang beriman. Al-fatihah,” katanya.
Dalam pada itu, memetik luahan Noraini Jaafar, 54, ibu kepada Muhammad Iqbal, dia mahukan hukuman setimpal terhadap penjenayah yang menyebabkan kematian anaknya itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong menegaskan kematian Muhammad Iqbal ketika bertugas diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Muhammad Iqbal, maut dalam kemalangan ketika mengejar penjenayah dalam kejadian di Jalan Utama, Georgetown di sini, semalam.
Kejadian jam 1.35 pagi itu menyebabkan anggota dari Balai Polis Dato Keramat berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian.