KOTA BHARU | Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Kota Bharu mengecam sekeras-kerasnya kebiadaban majikan yang menyentuh sensitiviti umat Islam dengan menghalang pekerjanya berpuasa.
Justeru, Ketuanya, Mohd Ekhwan Mohd Hatta, mendesak supaya Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap majikan dan konco-konconya yang terbabit supaya menjadi iktibar kepada masyarakat lain.
Beliau berkata, Armada menolak segala permohonan maaf daripada majikan terbabit memandangkan perbuatan zalim itu membabitkan sensitiviti umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa pada Ramadan ini.
“Armada Kota Bharu memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya menangkap empat individu yang terbabit dalam kes berkenaan.
“Kita seru semua Armada Bahagian turut mengutuk dan menyelar tindakan biadab berkenaan. Kita mahu memberi amaran supaya tiada pihak yang berani mencabar ketuanan Islam di negara ini,” katanya kepada Journal Malaysia, malam tadi.
Media kelmarin melaporkan siasatan polis ke atas lelaki yang menampar dan memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa, hampir lengkap.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata selepas siasatan lengkap, pihaknya akan mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara supaya suspek dituduh di mahkamah.
Sebelum ini, lelaki berusia 43 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan.
Dia disiasat susulan memukul dua pengawal peribadi dan diacukan pistol disebabkan enggan menuruti arahan majikan supaya tidak berpuasa.
Mangsa berusia 43 tahun bersama seorang lagi rakan sekerja dibelasah menggunakan rotan oleh majikannya di rumah di Batu Nilam, Klang.
Kejadian itu turut tular di media sosial dan masyarakat mahu keadilan yang setimpal terhadap mangsa.