KOTA BHARU | Semua sekolah di tujuh daerah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membabitkan 72 sekolah ditutup bermula hari ini sehingga 24 April ini.
Keputusan itu susulan peningkatan yang ketara kes COVID-19 yang berlaku di sekolah di daerah ini sama ada berpunca daripada guru, kakitangan dan pelajar.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Zulkernai Fauzi menerusi satu surat pekeliling yang dikeluarkan malam tadi memaklumkan surat pewartaan tutup sekolah akan dibuat dan diedarkan segera kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kepada semua dan juga ibu bapa.
Katanya, semua murid yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama dan tidak dibenarkan pulang ke rumah.
“Pihak PPD akan membuat pemantauan setiap hari di asrama supaya murid benar-benar sihat dan tidak bergejala.
“TADIKA swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga ditutup seperti sekolah di tujuh daerah itu.
“Semua sekolah yang ditutup perlu melaksankan PDPR kaedah 2.0,” katanya.
Beliau berkata, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tertangguh perlu dilaksanakan seperti biasa.