KOTA BHARU | Hampir semua negara di dunia menghadapi dan mengalami masalah kewangan, bukannya negara Malaysia sahaja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata, hampir seluruh dunia menghadapi defisit dalam perbelanjaan mereka.
Katanya, ini adalah cabaran ekonomi dan kesihatan yang terbesar yang melanda sejak perang dunia kedua atau mungkin dah lama.
“Ada negara yang mengalami defisit dalam perbelanjaan mereka di antara 10 sehingga 15 peratus. Malaysia mengalami defisit sekitar enam peratus.
“Ini bukan isu negara, malah hampir semua negara di dunia. Kita menghadapi banyak cabaran pada masa yang sama keperluan juga meningkat ini merupakan realiti kerajaan termasuk untuk memastikan penjagaan kesihatan rakyat
“Apabila pendapatan merundum sudah pasti kutipan cukai pun jatuh.
Itu realitinya dan bukan perkara yang boleh disorok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir Lawatan Kerja Rasmi Ke Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Berhubung Sesi Libat Urus Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Status Pembancian Peringkat Negeri Kelantan di Wisma Persekutuan di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah DOSM, Zuraidy Zainal Abidin.
Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kerajaan sudah tidak mempunyai banyak wang kesan daripada perbelanjaan yang perlu disalurkan berkaitan COVID-19.
Beliau berkata, lebih RM600 bilion dibelanjakan dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.