PUTRAJAYA | Microsoft melaburkan sejumlah RM4 bilion dalam pembukaan pusat data serantau pertama di Malaysia.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasil pelaburan itu mampu menjana lebih 19,000 peluang pekerjaan di negara ini.
Katanya, inisiatif tersebut merupakan satu komitmen pihak Microsoft untuk membangunkan landskap ekonomi digital selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital.
“Microsoft merupakan sebuah syarikat gergasi teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 1993.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif Microsoft Bersama Malaysia, pihak Microsoft juga akan melatih dan meningkatkan kemahiran 1 juta rakyat Malaysia menjelang akhir 2023.
“Ini sekali gus akan dapat merapatkan jurang digital dan memperkasakan rakyat Malaysia menerusi penggunaan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan di facebook miliknya, hari ini.
Pada majlis tersebut, Muhyiddin berkesempatan menyaksikan pelantikan Microsoft Malaysia sebagai Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP).
Beliau berkata, pelantikan itu selari dengan rancangan Kerajaan untuk memindahkan 80 peratus daripada data kepada awan menjelang 2022.
“Saya turut menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pelbagai kerjasama awam-swasta di antara Microsoft Malaysia bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Celcom Axiata Berhad dan Grab Malaysia.
“Kehadiran pelaburan gergasi teknologi seperti Microsoft ini merupakan satu tanda keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dan inisiatif MyDigital yang dilancarkan pada Februari tahun ini.
“Saya yakin dan percaya dengan perancangan yang rapi, aspirasi MyDigital akan terus membuahkan hasil dan membawa Malaysia ke mercu kemajuan ekonomi digital yang mampan,” katanya.