KOTA BHARU | Setakat ini, “kluster maahad tahfiz” dilihat menjadi antara penyumbang utama dan menimbulkan kebimbangan kepada peningkatan kes harian Covid-19 di Kelantan.
Hari ini sebanyak 429 kes direkodkan di Kelantan dan daripada jumlah tersebut 79 kes adalah daripada Kluster Pulai Chondong.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 243 ujian saringan dan daripada jumlah itu 97 kes positif Covid-19 telah direkodkan untuk Kluster Pulai Chondong.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang, Kelantan bermula esok l sehingga 4 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan Covid-19 ke komuniti luar.
Semalam, PKPD juga telah dikuatkuasakan di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan sehingga 2 Mei ini.
Sehingga 18 April KKM telah melaksanakan 396 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 43 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
Sementara itu, di Kelantan juga hari ini turut merekodkan satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Pasir Mas Pohon Tanjong yang mana
kluster pendidikan itu melibatkan daerah Pasir Mas dan Tanah Merah.
Kluster tersebut melibatkan kakitangan dan pelajar-pelajar sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan Pasir Mas – Pohon Tanjung, Pasir Mas.
Sehingga 20 April, sejumlah 46 individu telah disaring, dan 28 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.