KOTA BHARU | Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan kesemua masjid mukim, surau dan musolla di negeri ini ditutup bermula esok berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini yang meningkat secara mendadak
Yang Dipertua MAIK juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Abdul Aziz berkata, penutupan itu bermula esok sehingga satu tempoh yang akan diberitahu kelak.
Menurutnya, solat Jumaat, solat fardu dan tarawih di masjid negeri, bandar dan jajahan adalah dibenarkan dengan 50 peratus (%) daripada kapasiti masjid selepas penjarakan.
“Aktiviti-aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf dan lain-lain adalah tidak dibenarkan.
“Para Jemaah hendaklah berada dalam saf dengan penjarakan dua meter.
“Bagi semua masjid mukim, surau dan musolla di Negeri Kelantan adalah ditutup untuk semua aktiviti termasuklah bagi pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu, tarawih dan aktiviti-aktiviti lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Mohamad Rizam juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) tersebut.
Katanya, pihak pengurusan masjid dan surau termasuk musolla hendaklah mematuhi sepenuhnya ketetapan dikeluarkan oleh MAIK.
“Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini.
“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah S.W.T pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.
Di bawah dilampirkan senarai masjid bandar dan jajahan di Kelantan.