KUALA LUMPUR | Tiga individu yang disyaki terbabit dalam pembikinan dua video mempromosi kegiatan judi dalam talian ditahan di ibu negara, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, mereka yang berusia antara 21 hingga 42 tahun itu ditahan selepas polis menerima dua laporan membabitkan isu video berdurasi 48 dan 30 saat itu.
Katanya, tiga individu itu masing-masing dua wanita dan seorang lelaki.
“Mereka akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi video itu kerana perbuatan itu bukan saja menyalahi undang-undang, tetapi juga boleh mendatangkan keresahan dan kegusaran awam,” katanya.