SHAH ALAM | Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin atas pemergian ayahanda Tengku Permaisuri.
Menerusi Facebook Rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” tulis kenyataan itu hari ini
Hari ini, Ayahanda Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Abdul Rahman Baba meninggal dunia akibat sakit tua pada pukul 3.40 pagi Selasa.
Istana Selangor dalam satu hantaran di laman Instagram dan Facebook Selangor Royal Office pada Selasa memaklumkan bahawa Allahyarham Abdul Rahman kembali ke rahmatullah hari ini (20 April 2021), bersamaan 8 Ramadan 1421 Hijrah.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari melalui ciapan di laman Twitternya mengucapkan takziah kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mukmin yang soleh,” katanya.