KUALA LUMPUR | Isu air di Kelantan terus didendangkan oleh sesetengah pihak atas alasan untuk memburukkan Kerajaan Negeri Kelantan.
Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Shahir Adnan berkata, setelah selesai isu air di Hospital Raja Perempuan Zainab II kini isu gali perigi atau “boring” pula dimainkan.
“Sekarang ini ‘berlegar-legar’ surat “Arahan Pematuhan kepada Seksyen 12 Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019” dengan beberapa komen tidak betul berkenaan kerajaan Negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan.
Shahir yang juga, Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berkata, untuk pemahaman berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, sumber air diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Maka, kerajaan negeri perlu memastikan sumber air mencukupi untuk tujuan bekalan air, pertanian, perindustrian komersil, dan alam sekitar. Atas dasar tanggungjawab ini, maka Kerajaan Negeri Kelantan mengeluarkan arahan pematuhan kepada Seksyen 12, bertujuan untuk melindungi sumber air untuk rakyat,” katanya.
Tambah beliau, enakmen itu tidak terpakai kepada rakyat Kelantan untuk tujuan menggali perigi bagi penggunaan domestik atau kegunaan sendiri, iaitu pengeluaran air kurang daripada 2,500 liter sehari.
“Jadi sesiapa pun di Kelantan tidak perlu mendapatkan lesen jika untuk kegunaan domestik.
“Tujuan sebenar lesen kepada Enakmen Sumber Air adalah untuk mengawal kegiatan komersil agar syarikat-syarikat besar atau kilang-kilang tidak memanipulasi sumber air Kelantan bagi keuntungan sendiri,” katanya.
Katanya, usaha murni Kerajaan Negeri Kelantan perlu diteruskan tanpa diganggu-gugat oleh suara-suara sumbang pembangkang di Kelantan yang kehabisan modal untuk mendendangkan isu air Kelantan.
“Selaku Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), saya optimis bahawa air di Kelantan kian bertambah baik. Beberapa fasa menaik taraf perkhidmatan bekalan air dilakukan secara berperingkat, merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Langkah-langkah yang diambil ini bersifat secara keseluruhan dengan menyelesaikan isu pengurusan dan infrastruktur air untuk menampung keperluan bekalan air di Kelantan untuk tempoh terdekat,” katanya.
Katanya, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan Air Kelantan Sdn Bhd adalah membina Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Telok, Kota Bharu, dengan anggaran pembekalan air sebanyak 30 juta liter sehari kepada rakyat Kelantan.