Kuala Lumpur | Dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia dicekup polis selepas didapati memiliki mercun dan daun ketum dalam serbuan di Medan Selera di Kampung Baru di sini, semalam.
Suspek berusia 30 dan 50-an terbabit yang berniaga di premis berkenaan dipercayai menyembunyikan bahan terlarang itu untuk dijual di kawasan sekitar.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek ditahan Pasukan Pematuhan Op Covid-19, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dang Wangi pada 4 pagi.
“Hasil pemeriksaan menemukan mercun pelbagai jenis dan lima guni berisi 320 bungkusan plastik lutsinar berisi daun ketum anggaran berat 64 kilogram dan 14 botol berisi air ketum.
“Semua rampasan itu dianggarkan bernilai RM25,850. Kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Zainal berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Siasatan awal mendapati mercun itu dipercayai untuk dijual kepada penduduk di sekitar Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
“Malah, suspek juga dipercayai memasak dan membungkus air ketum berkenaan untuk dijual kepada penagih dengan harga RM10 sebungkus,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek akan direman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – Harian Metro