PASIR MAS | Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari tampil membuat laporan polis terhadap pengguna Facebook yang menggunakan nama Fahmi Reza kerana menghina Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Ahmad Fadhli berkata, Fahmi Reza memuat naik satu hantaran yang menghina Raja Permaisuri Agong dengan menulis This is dengki ke?.
“Walaupun tajuknya ringkas, pada saya ia mempunyai niat untuk menghina Raja Permaisuri Agong.
“Sepanjang pemantauan saya terhadap individu bernama Fahmi Reza, dia sudah banyak membuat lakaran kartun yang agak mengusik sensitiviti perkauman dan agama,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, hari ini.
Beliau memohon pihak polis membuka kertas siasatan dan mengheret individu berkenaan ke muka pengadilan, supaya perbuatan menghina secara keterlaluan ini dapat dielak dan menjadi pengajaran kepada pengguna Facebook lain.
“Walaupun negara ini negara demokrasi dan kita bebas untuk bersuara untuk menyatakan hak dan sebagainya, tetapi ada had dan batasannya.
“Tidak boleh mengusik sensitiviti perkauman dan agama, apatah lagi menghina apa yang menjadi tunjang dalam perlembagaan iaitu institusi beraja,” katanya.
Terdahulu, menerusi status yang dimuat naik Fahmi Reza di Facebook semalam dan di kongsi oleh lebih 700 individu, ramai yang turut meninggalkan komen mengutuk tindakan individu berkenaan kerana menghina Permaisuri Agong.- Journal Malaysia