JAKARTA | Bekalan oksigen kapal selam Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI), KRI Nanggala 402, yang terputus hubungan dan hilang di Perairan utara Pulau Bali, hanya mampu bertahan untuk tempoh 72 jam lagi, ketika operasi mencari masih belum dapat mengesan lokasi tepat kapal selam berkenaan.
“Dalam kondisi ‘blackout’, KRI Nanggala boleh bertahan 72 jam dengan kapasiti oksigen yang ada, estimasi (dianggarkan) sampai Sabtu,” kata Ketua Staf TNI Angkatan Laut, Laksamana Yudo Margono, dalam sidang media secara Webinar yang turut disiarkan secara langsung menerusi Youtube rasmi TNI (Puspen TNI), hari ini.
Sidang media lebih sejam itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan Panglima TNI, Marsekal Hadi Tjahjanto.
KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada jam 4.25 pagi semalam ketika sedang dalam misi latihan melakukan tembakan torpedo, yang turut disertai 21 kapal TNI lain bersama-sama lima pesawat tempur serta sebuah lagi kapal selam.
Operasi pencarian kapal selam hilang yang membawa 53 kru di perairan Utara Bali itu jarang berlaku dalam sejarah ketenteraan negara dan ia turut dibantu Singapura, Malaysia dan Australia. – BERNAMA