KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) membuka satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) khas bagi menempatkan pelajar sekolah dari seluruh negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, PKRC berkenaan akan dibuka hari ini atau selewat-lewatnya esok.
Katanya, pembukaan itu menjadikan PKRC ketujuh di negeri ini.
“JKNK sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menjadikan asrama sekolah sebagai PKRC khas bagi menempatkan pelajar yang disahkan positif dari seluruh Kelantan.
“PKRC berkenaan membabitkan sebuah sekolah menengah di Salor yang akan dibuka hari ini atau selewat-lewatnya esok.
“Kita akan membuka dua blok untuk menempatkan pelajar lelaki dan perempuan. Mereka akan ditempatkan di lokasi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Dr Zaini berkata, PKRC berkenaan boleh menampung 300 pesakit dalam satu masa.
Mengulas mengenai pembukaan PKRC di Kompleks Belia dan Sukan Panji, Dr Zaini berkata, ia juga akan dibuka selewat-lewatnya esok bagi menampung bilangan pesakit COVID-19 di negeri ini.
“Di Jabatan Belia dan Sukan kapasiti boleh menempatkan seramai 140 pesakit, kita akan buka hari ini, atau esok paling lewat,” katanya.-Journal Malaysia
Tamat.