PASIR PUTEH | Menggalas tugas sebagai ketua keluarga bukanlah satu perkara yang mudah untuk semua orang, apatah lagi perkara itu berlaku ketika usia yang sangat muda.
Namun perkara itu dilalui oleh Shahera Rosdi,14, disaat rakan sebayanya yang lain berperah otak menyambung pelajaran, namun dia berkerah keringat menyara keluarganya.
Tanggungjawab besar itu dipikul Shahera ketika dia berusia 11 tahun lagi setelah bapanya Rosdi Annuar, 50, terlantar kerana serangan angin ahmar separuh tubuh dari pinggang ke bawah.
Kini sudah empat tahun Shahera menggalas tanggungjawab dengan penuh keikhlasan menguruskan ayah serta dua adiknya setelah berpisah dengan ibunya sejak 10 tahun lalu.
Shahera yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pak Amat itu berkata, dia tidak pernah menyesal dilahirkan dalam keluarga sebegitu dan tidak sesekali mengganggap bapanya sebagai beban.
“Saya sedih dan saya tidak sanggup tengok keadaan papa begini… Papa sakit, tapi saya tak pernah anggap Papa membebankan saya,” katanya sambil membiarkan pipinya dibasahi air mata ketika menerima kunjungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di rumahnya di Kampung Merkang di sini.



Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, rutin hariannya bermula dari jam 5 pagi lagi, di awal pagi siapkan makan dan minum dua adiknya, Amirul Mukmin, 12 Nor Shamimi Balqis, 10 untuk ke sekolah termasuk ayahnya.
Ketika bulan Ramadan pula, tugasnya bermula jam 4.30 pagi lagi, memasak atau panaskan lauk pauk untuk bersahur dan kejutkan adik-adik selain menyiapkan ubat-ubatan ayahnya yang turut menghidap asma itu.
Hidup mereka sekeluarga serba kekurangan, malah ada waktunya, mereka hanya makan nasi goreng kosong tanpa lauk dan hanya garam sebagai penambah rasa, namun itulah kenyataan yang perlu dilalui oleh Shahera bersama keluarganya.
Bercerita mengenai bapanya pula, Rosdi yang dahulunya bekerja sebagai tukang rumah dan juga penoreh getah, kini sudah tidak selincah itu lagi.
Selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dia juga mengharapkan ihsan adik-beradiknya dan juga penduduk kampung.
Meskipun, dia cuba untuk menahan kesedihan dan menyembunyikan penderitaan yang ditanggung, namun semuanya itu tidak termampu apabila mengenangnya nasibnya yang tidak dapat membesarkan anak-anak dengan tangannya sendiri.
“Saya memang tidak mampu, dalam keadaan terlantar begini nak hulurkan satu ringgit bila anak minta pun saya tak mampu, siapa tak sedih.
“Saya seorang ayah tapi tak boleh buat apa-apa. Anak-anak pernah ke sekolah tanpa bawa duit, mereka tahu kami susah. Mereka tidak minta, tapi saya bersyukur sebab guru-guru juga banyak membantu mereka di sekolah,” katanya yang cuba ditenangkan anak ketiga dan keduanya.
Dalam pada itu, melihat kepada keadaan keluarga tersebut, MAIK pada hari sama telah membelikan kelengkapan baju raya baharu, katil, termasuk beberapa kelengkapan rumah baharu bernilai RM3,000 untuk keselesaan mereka.
Kunjungan MAIK turut disertai Imam Tua Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, Mohamad Sabri Abdul Ghani.
Bagi yang ingin menyumbang, sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Mohd Rosdi Anuar 7625316359.