KUALA LUMPUR | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberitahu bekalan minyak masak bersubsidi polibag 1 kg stabil dan mencukupi.
KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebanyak 60,000 metrik tan (mt) sebulan atau 720,000 mt setahun minyak masak 1 kg bersubsidi telah diedarkan di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar.
Menurutnya, jumlah pengeluaran dan pengedaran itu adalah mencukupi bagi kegunaan 32.7 juta orang rakyat Malaysia.
“Tindakan ini, memberikan keseimbangan pasaran harga minyak masak dalam negara.
“Pengguna boleh menikmati harga minyak masak mampu milik untuk pilihan minyak masak bungkus polibeg 1kg pada harga RM 2.50 sahaja,” kata kenyataan itu hari ini.
Bagi menstabilkan harga dan bekalan minyaj masak bersubsidi KPDNHEP telah melaksanakan OPS GORENG 3.0 yang bertujuan membanteras ketirisan minyak masak di peringkat pengilang dan pembungkus minyak masak.
“OPS GORENG 3.0 amat berkesan bagi memastikan keberadaan bekalan minyak masak 1 kg bersubsidi di pasaran dan dinikmati oleh rakyat Malaysia.
“OPS GORENG 3.0 melibatkan pemantauan ke atas pengilang dan syarikat pembungkus minyak dengan mengadakan pengauditan di setiap rantai bekalan minyak masak serta menjalankan pemeriksaan harian di peruncit, pemborong dan pasaraya,” katanya.
Katanya, pelaksanaan di bawah OPS GORENG 3.0 memberikan impak positif kepada pemegang taruh, khususnya rakyat yang merupakan sasaran utama perlu menikmati bekalan dan harga minyak masak 1 kg bersubsidi.